Ilham

          Mama dah fed up agaknya dengan perangai Ilham. Entahlah, tak tahu bila adik bongsu aku tu nak berubah. Nasihat sudah, cuma pukul je Mama tak berani. Degil-degil si Ilham tu, Mama paling sayang dia. Aku, Abang Long dan Isha cukup sedar hakikat tu. Waktu kecil-kecil dulu, Ilham yang paling banyak koleksi mainan. Dari kereta kawalan jauh sampai patung figura aksi yang bukan-bukan, just name it. Ilham ada semua. Bila dah besar ni, Mama dah kurang spoil Ilham tapi apa je yang Ilham minta, tak berlengah Mama tunaikan.

          Sebagai seorang kakak dan antara family member yang paling rapat dengan Ilham, aku faham apa yang Ilham lalui. Abang Long dan Isha cuma tahu berleter. Ilham pun sebenarnya dah nak pekak dengar semua bebelan yang keluar daripada mulut diorang. Tambahan pula nasihat berkala daripada Mama yang memang tak boleh nak elak dah. Pernah satu hari Ilham masuk bilik aku dengan muka tempoyak busuk dia tu. Bila ditanya, terus aku ditarik ke dalam pelukannya. Maka, basahlah bahu aku hari itu. Sekeras-keras kepala Ilham tu, dia ada hati. Dan kakak mana yang sanggup biarkan hati adiknya terluka.

          Tak dinafikan Ilham adalah seorang pelajar yang outstanding di sekolah. Markah ujian Ilham biasanya bermula dengan digit 9. Tak pernah turun kedudukan selain tempat pertama sejak tadika sehingga Ilham kini di Tingkatan 5. Cuma Ilham nakal tahap petala langit teratas. Paling cuka cukup disakatnya, tak lain tak bukan guru disiplin. Merah padam pipi Mama walaupun tak guna Revlon apabila satu persatu kisah kenakalan Ilham guru kelasnya bongkarkan sewaktu Open Day semalam.

          Sudah semestinya rahang aku, Abang Long dan Isha jatuh ke bawah mendengarkan semua itu. Cepat aku berlari ke bilik Ilham dan sekali lagi rahang aku jatuh melihat hiasan dinding di bilik Ilham. Berkeping-keping gambar keluarga kami terlekat di dinding. Ilham pula sedang duduk di atas sejadah membaca surah Yasin dengan penuh syahdu suaranya. Menitis air matanya menitik-nitik membasahi kain pelekat yang disarungnya. Aku tahu untuk siapa surah Yasin itu disedekahkan : Papa.

          Aku kunci pintu bilik Ilham. Ilham masih belum perasan kehadiran aku di dalam biliknya itu. Dan entah bagaimana aku jatuh terduduk di situ. Ilham tak pernah nakal sebegini. Ilham anak yang cukup baik. Sewaktu pengkebumian Papa, Ilham yang paling sibuk sekali. Seboleh-bolehnya dia mahu menguruskan segala-galanya. Dan Ilham jugalah yang paling lama berkabung. Lebih sebulan dia berkurung dalam bilik. Makan tak mahu, pendek kata tak nak buat apa-apa pun. Tetapi selepas tempoh sebulan itu, lahirlah Ilham yang baru. Ilham yang degil, Ilham yang kuat memeberontak, Ilham yang keras kepala.

          Tanpa sedar, air mataku gugur jua. Sungguh, aku rindukan Ilham. Ilham adikku yang ceria dan gemar berbakti kepasa semua orang. Tiba-tiba, air mataku diseka. Tangan Ilham masih belum hilang kehangatannya. Mesra seorang adik itu tetap ada. "Kakak merayu, Ilham. Tolonglah ubah sikap tu. Kakak tak nak Mama sedih. Tolonglah, Ilham", pintaku. Ilham diam. Tak semena-mena, aku diarah keluar daripada bilinya yang bercat putih itu.

          Dan saat itu merupakan kali terakhir aku menangis disebabkan Ilham. Drastik, itu satu-satunya perkataan yang terlintas di mindaku melihat perubahan sikapnya. Ilham yang dahulu ternyata telah kembali semula di sisi kami. Seperti yang kami jangka, Ilham lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM. Terbanglah Ilham ke negara Uncle Sam untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

          Bukan sahaja membanggakan seluruh keluarga dengan pencapaiannya yang menterbeliakkan mata, malahan Ilham turut mengharumkan nama Malaysia. Kembang kuncup hati Mama melihat gambar Ilham di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen. Ilham terkenal, sungguh terkenal. Menjadi pelajar Melayu pertama ditawarkan pengajian di peringkat Ph.D tanpa perlu menghabiskan Ijazah Pertama di Harvard University, tidak cukup hebat lagikah?

          Di tahun akhir pengajian Ilham, Mama pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Ilham tak balik. Tiada siapa yang dapat memberikan alasan yang kukuh mengenai ketiadaan Ilham sewaktu terkuburnya jenazah Mama. Ilham diam seribu bahasa. Langsung tiada berita. Tapi aku yakin, aku pasti Ilham tahu Mama dah takde. Ilham tak dapat nak terima kehilangan Mama macam mana dia buat perangai selepas Papa meninggal. Ilham akan buat perangai lagi. Aku tahu.

          Hari ini, aku menangis lagi kerana Ilham. Berita yang kami terima daripada pegawai bertugas di kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat bulan lepas langsung tidak aku percaya sedikit pun. Mana mungkin Ilham tega meninggalkan pengajiannya begitu sahaja dan lesap tanpa sebarang khabar. Akhbar tabloid yang aku pegang itu akhirnya membuatkan aku terpaksa akur. Ilham... Ilham. Terpampang gambar Ilham yang berbaju Melayu hitam berdiri tegak di sisi seorang jejaka mat saleh di majlis perkahwinan mereka yang diadakan di sebuah gereja. Tak tertahan air mata ini daripada mencurah-curah mengenangkan sikap Ilham. Dan dengan lantangnya aku katakan kepada diriku sendiri : Tak pernah aku punya adik bongsu bernama Muhammad Ilham bin Iskandar!

p/s: Masa ni nak dekat SPM rasanya. Tatabahasa struktur ayat semua memang tunggang terbalik, kemaafan dipohon. Biaq pi laaaaaa.

Comments

Post a Comment

say nice things :)